Sabtu, Julai 11, 2009

Ummair lebih mirip siapa?

Assalamualaikum..

Ketika di rumah mertuaku, sempat kami menyelongkar barang-barang simpanan lama. Tujuan kami hanya satu, iaitu mencari foto-foto isteriku sewaktu zaman bayinya.

Alhamdulillah, setelah bertanya mertuaku, akhirnya kami menemukan apa yang dicari. Namun, foto yang ada hanyalah dua keping dan kedua-dua foto itu sudah usang dan hampir rosak. Walau bagaimana pun, syukur kerana khazanah itu masih ada untuk disimpan sebagai kenangan.

Begitu juga halnya ketika kami pulang ke rumah ibuku. Syukur kerana foto-fotoku ketika usia bayi masih ada di dalam simpanan keluarga.

AbuUmmair, UmmuUmmair dan kembarnya, dan Ummair..

Sebenarnya, tujuan utama kami mencari gambar-gambar lama itu adalah untuk melihat ke arah wajah siapakah mirip wajah Ummair. Kebanyakan sanak-saudara dan sahabat handai yang datang melihat Ummair akan menyatakan bahawa Ummair mirip wajahku. Lebih-lebih lagi ibuku yang melihat aku membesar di depan matanya.

Mungkin pembaca blog ini ada pendapat tersendiri mengenai perkara ini.

AbuUmmair 1982









UmmuUmmair 1982





Ummair 2009








[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Julai 08, 2009

Ummair sebelum dan selepas cukur jambul..

Assalamualaikum..

Sejak dilahirkan lagi, rambut Ummair memang lebat sehingga setiap orang yang datang menziarahi Ummair sama ada di hospital atau di rumah mertuaku akan menjawab "Ini mesti bayi perempuan" apabila diminta meneka jantina putera kami itu.

Rambut Ummair yang sangat lebat dan hitam itu membolehkan kami menyikatnya dengan rapi setiap kali selepas Ummair dimandikan. Kadang-kadang, rimas juga melihat rambut Ummair di sebelah tepi yang menutup separuh telinganya. Menurut kata Ma, keadaan Ummair itu sama dengan keadaanku sewaktu kecil dahulu.

Ummair sebelum rambutnya dipotong pendek..


Setelah selesai majlis tahnik dan cukur jambul Ummair, aku dan isteriku bertungkus-lumus memotong rambut Ummair yang lebat itu. Keadaan menjadi sukar kerana Ummair tidak duduk diam sepanjang proses itu. Akhirnya rambut Ummair sudah pendek dan kemas.

Ummair selepas rambutnya dipotong pendek..

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Jun 12, 2009

Tahnik dan cukur jambul Ummair..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, pagi tadi telah sempurna majlis tahnik (belah mulut) dan cukur jambul Ummair. Pada awalnya, kami berkira-kira untuk membawa Ummair ke rumah Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk ditahnikkan.

Tetapi setelah berbincang dan aku menyatakan hasratku untuk menunaikan hak Ummair itu dengan tanganku sendiri, aku terus tekad dan meyakinkan diri untuk melakukannya. Aku yakin bahawa Ummair berhak ditahnikkan oleh abinya sendiri. Aku juga menyimpan cita-cita untuk menikahkan sendiri bakal puteri-puteri kami suatu masa nanti.


























[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, Jun 06, 2009

Kenduri kawan lama..

Assalamualaikum..

Tengahari tadi, aku menghadiri majlis perkahwinan kawan sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan Seribong) suatu ketika dahulu iaitu Wan Mohd Ali. Kami (aku dan isteri) sama-sama mengenali Ali kerana kami semua belajar di sekolah yang sama pada waktu itu.


Disebabkan isteriku baru beberapa hari melahirkan Ummair, aku menghadiri majlis itu bersendirian. Mujur juga seorang lagi kawan kami turut hadir iaitu Bahari.

Kami tidak sempat bergambar dengan pengantin memandangkan beliau begitu sibuk melayan tetamu yang hadir.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Jun 04, 2009

Akhirnya nama putera kami didaftarkan..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, akhirnya nama putera pertama kami telah didaftarkan hari ini. Nama yang kami pilih ialah Tengku Muhammad Ummair.










[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Mei 27, 2009

Kelahiran putera sulung kami..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Alhamdulillah, bayi pertama kami (lelaki) selamat dilahirkan pada 26 Mei 2009 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1430 Hijriah pada pukul 9.41 malam di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan.

Kelahiran ini adalah buah cinta kami dan sangat berharga dalam hidup kami. Semoga kehadiran si kecil ini dapat melengkapkan kasih yang terjalin di antara kami selama-lamanya.
















[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Mei 21, 2009

Gaya bahasa penulisan blog..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Jika diperhatikan kepada perkembangan teknologi perhubungan dan maklumat masa kini, saban hari kewujudan blog-blog baru di ruang siber makin bertambah dan bercambah dengan begitu cepat. Tidak kira daripada golongan mana, semua manusia alaf baru kini tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati era yang serba canggih ini.

Bermula daripada kanak-kanak sekolah sehingga ayah atau ibu kepada beberapa orang anak malah datuk atau nenek, semua lapisan masyarakat mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan atau apa yang terbuku di hati melalui penulisan blog.

Jika dahulu manusia gemar menulis diari secara manual di dalam buku, kini penulisan diari kehidupan sudah ditukar kepada penulisan blog. Jadi, blog sebenarnya adalah sebuah diari digital, atau mungkin boleh dikenali sebagai e-diari!


Untuk catatan kali ini, aku terfikir untuk berkongsi atau meluahkan satu perkara yang sudah berlegar-legar di benakku sejak beberapa waktu, iaitu mengenai gaya bahasa penulisan blog. Setelah membaca dan meneliti banyak blog, pelbagai ragam bahasa dapat dikenalpasti. Terdapat blog yang bahasanya dijaga dengan rapi sehingga menampakkan keindahannya. Tetapi, kebanyakan blog begitu bercelaru penulisannya sehingga merosakkan keluhuran bahasa itu sendiri.


Di sini, aku menumpukan topik ini kepada gaya penulisan bahasa Melayu. Pada pendapatku secara peribadi, seseorang penulis blog perlu memastikan bahawa setiap nukilannya tidak mencacatkan bahasa itu sendiri. Beberapa perkara asas mesti diberi perhatian agar keindahan bahasa kita terpelihara.

Antaranya ialah, seseorang penulis haruslah memastikan supaya ayat yang digarap itu tidak tergantung. Imbuhan pula mesti digunakan dengan betul. Di samping itu, penggunaan huruf besar dan huruf kecil pada tempat yang sesuai juga memainkan peranan dalam penulisan. Kesimpulannya, kita hanya perlu mengaplikasikan apa yang pernah kita pelajari dalam mata pelajaran bahasa Melayu ketika di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah suatu ketika dahulu!

Jika alasan untuk tidak menggunakan bahasa dengan betul adalah kerana ingin menjadikan catatan blog itu santai dan bersahaja, aku kurang bersetuju kerana aku pernah membaca beberapa blog yang ditulis dengan bahasa yang tidak cacat tetapi masih mampu menyelitkan elemen santai itu.

Semuanya bergantung kepada kehendak masing-masing dalam menghasilkan nukilan-nukilan e-diari kita dalam ruang maya ini.

Secara jujurnya, bahasa penulisanku sendiri kadang-kadang ada juga kesilapannya. Tetapi aku berusaha sebaik-baiknya agar setiap patah perkataan digarap dengan betul.

Aku berpegang kepada prinsip bahawa setiap ilmu yang dipelajari wajib diamalkan sedaya yang mampu. Jadi, jika kita pernah mempelajari ilmu bahasa Melayu ini, kita perlu mengaplikasikannya dalam penulisan blog.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Mei 01, 2009

Terserempak dengan kawan lama..

Assalamualaikum..

Hari ini adalah hari cuti umum iaitu sempena hari pekerja. Selesai solat fardhu Jumaat di Surau Al-Munir, aku menuju ke gerai jualan makanan yang dibuka di perkarangan surau itu untuk membeli makanan tengahari kami di rumah nanti.

Tiba-tiba lenganku dicuit dari belakang. Aku menoleh ke arah datangnya gamitan itu. Rupa-rupanya seorang kenalan lama yang mungkin masih mengenaliku ingin menegurku.

"Assalamualaikum," dia memberi salam sambil tersenyum.

"Waalaikumussalam. Eh, Dek Wan. Erk, sekarang orang panggil Dek Wan lagi ke?" aku teringat akan nama timangannya di Kolej MARA Seremban beberapa tahun yang lalu.


"Boleh je. Sekarang pun orang masih panggil dengan nama tu. Apa khabar sekarang? Isteri bila dijangka bersalin?", Dek Wan atau nama sebenarnya Rizwan memulakan topik perbualan.

"Alhamdulillah. Dah makin hampir. Due 9 Jun ni. Kami rancang nak balik bersalin kat kampung. Dekat dengan orang tua, senang sikit."

Setelah bertukar nombor telefon, kami berpisah di situ.

**********


Petang, kami menuju ke Warta di Bangi. Kami telah berjanji dengan KakMah sekeluarga untuk bertemu di sana. Ada beberapa keperluan yang masih belum dibeli sempena menyambut bayi kami nanti. Kami ingin meminta nasihat Kakmah yang kini sudah mempunyai enam orang anak. Semestinya banyak pengalaman yang dapat kami timba daripadanya.

Sambil kami menunggu KakMah memilih barang keperluannya, tiba-tiba aku terdengar sapaan salam. Aku menoleh ke arah suara itu.

"Waalaikumussalam. Eh, Pah," aku tidak menyangka akan terserempak dengan Pah atau nama sebenarnya Syarifah Zaimah pada hari ini di Warta walaupun aku sudah memaklumi bahawa dia memang tinggal di Bangi.

"Ini ke suami Pah?" aku menyambung bicara sambil anak mataku melirik kepada seorang lelaki di sisinya. Pah mendirikan rumahtangga beberapa bulan setelah aku dinikahkan dengan isteriku tapi kami tidak dapat menghadiri majlis mereka.

Aku menghulurkan tangan bersalaman dengan suami Pah setelah Pah mengiakan soalanku tadi. Pah juga bersalaman dengan isteriku.

"Bila due ni, Kulan?" Pah bertanya setelah melihat keadaan isteriku yang semakin kelihatan kandungannya itu.

"9 Jun nanti. Sekarang dah lapan bulan dah. InsyaAllah kami rancang nak balik kampung awal. Bersalin kat sana," aku memberikan penjelasan.

Pah adalah rakan sekelas denganku ketika di Kolej MARA Seremban beberapa tahun yang lalu.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, April 19, 2009

Ke rumah Su dan Taman Tasik Cempaka..

Assalamualaikum..

Hari ini, perancangan kami ialah ke rumah kawan sepejabat isteriku, Su, di Putrajaya. Di rumah Su, aku berkenalan dengan suaminya dan keluarga ibu saudara Su yang kebetulan datang menziarahinya.

"Su, Azam, jom lah ikut kami ke Taman Tasik Cempaka. Kat Bangi tu je," isteriku mengajak Su dan suaminya menyertai kami untuk 'dating' di taman itu.

"Takpe lah Jie. Hari ni kami nak rehat kat rumah je. Tak larat," Su menolak ajakan kami dengan baik.


Setelah meminta diri dari rumah Su dan Azam, kami terus menuju ke Taman Tasik Cempaka. Kami menghabiskan masa berjalan-jalan berpimpin tangan mengikut alur yang dibuat untuk pejalan kaki di taman tasik tersebut.

Menurut segelintir petua yang pernah singgah terngiang-ngiang di telingaku, untuk memudahkan seseorang ibu mengandung bersalin, digalakkan agar memperbanyakkan berjalan kaki. Kami sendiri kurang arif mengenai kesahihannya.

Selain daripada itu, kami sebenarnya sengaja ingin menghabiskan masa bersama-sama untuk bersiar-siar dan mengambil angin yang segar di taman tasik itu, agar cinta kami juga sentiasa segar. Kasih sayang perlu disemai dan dibajai selalu agar cinta semakin subur dan mekar.

Inilah yang dinamakan sebagai percintaan yang sejati, iaitu percintaan sepasang suami isteri yang diikat dengan hubungan perkahwinan yang sah.

"Sayang nak aiskrim?" aku memecahkan kesunyian petang apabila terpandang seorang penjual aiskrim sedang melayan beberapa orang pelanggannya di sisi motosikal dengan muatan aiskrimnya.

"Nak," isteriku menjawab sambil tersenyum.

Kami meneruskan langkah kaki mengikut alur tadi sambil menikmati aiskrim yang dibeli. Kami melihat pelbagai gelagat manusia. Ada yang memancing di tasik, ada yang bermain layang-layang, dan ada juga yang menghabiskan waktu petang dengan memandang tasik yang penuh dengan kedamaian itu.

Namun, apabila terpandang pinggir tasik, hatiku menjadi kesal dengan sikap orang kita. Sampah-sarap yang bertaburan di sekeliling pinggir tasik sangat mencacatkan pemandangan. Aku sendiri tidak pasti bila orang kita akan meninggalkan budaya dan sikap yang tidak bertamadun itu.

Belum pun habis satu pusingan tasik, isteriku meminta untuk berhenti.

"Dah la bang. Sayang dah tak larat ni. Mesti sakit kaki malam ni," isteriku mengadu keletihan.

"Kesiannya isteri Abang. Ok. Kita balik ye. Malam nanti Abang picit kaki tu," aku tersenyum kepadanya.

Hampir senja, kami tiba di rumah.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, April 11, 2009

Tabiat membuang sampah..

Assalamualaikum..

Sebagai permulaan catatan, perlu diingatkan kembali di ruang fikiran kita bahawa Islam sangat mengutamakan kebersihan. Kebersihan adalah salah satu daripada tanda keindahan deen (cara hidup) kita ini.


Melihat kepada budaya menjaga kebersihan di kalangan masyarakat Islam di negara kita, aku dapat membuat kesimpulan bahawa aspek ini dianggap begitu remeh oleh kebanyakan individu yang mengaku dirinya muslim, seolah-olah bab ini tidak ada dalam pelajaran agama kita.

Walhal jika kita merujuk mana-mana kitab Fiqh, kebanyakan ulama meletakkan tajuk kebersihan sebagai tajuk utama perbincangan sebelum memasuki tajuk-tajuk yang lain. Ini menunjukkan bahawa kebersihan sangat dititikberatkan agar diaplikasikan dalam kehidupan kita. Secara logik pun, kita perlu berada dalam keadaan suci sebelum dapat menunaikan amalan fardhu seperti solat lima waktu.

Memang tidak mudah untuk mengamalkan sesuatu supaya menjadi rutin kehidupan. Semuanya memerlukan didikan sejak awal dan latihan berterusan agar apa yang diamalkan itu menjadi sebati dengan jiwa dan tidak lagi terasa bebanan ketika melakukannya.

Jika kita suka memerhatikan gelagat masyarakat kita hari ini, bermacam-macam sikap manusia mampu membuat hati kita tertanya-tanya. Sesetengah tempat yang diletakkan papan tanda "dilarang membuang sampah di sini" dipenuhi dengan sampah yang dilonggok di kawasan tersebut. Adalah mustahil jika penghuni negara merdeka ini masih buta huruf!

Antara gelagat yang dapat diperhatikan juga ialah sikap membuang bungkusan makanan atau apa sahaja yang dikategorikan sebagai sampah, ke luar tingkap kereta dengan tiada langsung perasaan bersalah. Walhal, bila berlaku kejadian seperti longkang tersumbat dan seterusnya mengakibatkan terjadinya banjir kilat, tiada siapa pun tampil mengakui kesilapan sedangkan pembuangan sampah sewenang-wenangnya itu lah punca utama terjadinya tragedi yang tidak diingini tersebut.

Sebagaimana yang disebutkan tadi, perkara yang dianggap remeh ini memerlukan didikan, kesedaran, dan amalan berterusan kerana perkara ini melibatkan sikap manusia. Aku teringat pada zaman persekolahanku suatu ketika dahulu yang begitu banyak mencorak diriku pada hari ini. Daripada faktor didikan Abah dan Ma, sanak-saudara, guru-guru, teman-teman, sehingga lah faktor diri sendiri dan pengalaman yang mematangkan. Pengalaman kadang-kadang boleh menjadi guru yang paling baik!

Masih terngiang-ngiang di telingaku nasihat seorang ustaz ketika di bangku sekolah suatu ketika dahulu,

"Lepas makan gula-gula atau apa sahaja makanan, pembalutnya hendaklah dibuang ke dalam tong sampah. Kalau tidak kelihatan tong sampah di kawasan sekitar, kamu simpan dahulu pembalut itu di dalam kocek. Apabila nampak tong sampah, kamu boleh buang sampah itu ke dalamnya. Pada saat itu, kamu telah melakukan satu kebajikan. Alam akan bersih daripada pencemaran walaupun hanya daripada secebis pembalut makanan," begitulah nasihat yang terus aku amalkan ketika itu.

Sehingga sekarang, jika terlihat orang membuang sampah sesuka hati, hatiku menjadi sakit dan marah. Apa lah salahnya jika sampah itu disimpan seketika sebelum menemukan tempat yang sepatutnya untuk dibuang.

Kempen untuk memberikan kesedaran telah banyak dianjurkan tetapi tetap juga tidak dapat menyedarkan masyarakat. Entah sampai bila kempen akan terus dianjurkan tanpa mendapat natijah yang diharap-harapkan.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, April 05, 2009

Menjenguk bayi Sahar..

Assalamualaikum..


Hari ini kami diajak oleh KakMah untuk menyertai mereka ke rumah KakTie di Bentong. Mengikut perancangan, mereka ingin ke Air Terjun Chamang yang selalu disebut-sebut oleh KakTie. Tapi memandangkan kondisi isteriku agak tidak mengizinkan dengan kandungan yang sudah melebihi tujuh bulan, kami risau untuk menempuh perjalanan yang memakan masa beberapa jam itu.

Perancangan kami hari ini hanyalah perjalanan di sekitar kediaman kami. Teringat akan seorang teman sepejabat isteriku iaitu Saharuddin atau nama panggilannya Sahar yang baru menimang cahaya mata lebih kurang tiga bulan yang lalu, kami membuat keputusan untuk menjenguk bayinya. Sahar dan isterinya tinggal di kuarters kerajaan di Putrajaya.

Setibanya kami di rumahnya, kelihatan isterinya juga ada di rumah kerana hari ini adalah hari hujung minggu. Terpandang wajah seorang bayi yang comel, aku bertanya setelah menyapa mereka sebelum itu.

"Siapa nama ni? Comelnya dia," aku seolah-olah bertanya kepada bayi perempuan itu.

"Nurul Anisa Syakira," sahut ayahnya.

Melihat bayi Sahar tadi, kami berasa tidak sabar untuk menanti saat menimang cahaya mata kami sendiri tidak lama lagi.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Mac 20, 2009

Unikkah kembar?

Assalamualaikum dan bertemu kembali..

Secara logiknya, adalah lebih mudah untuk mencipta sesuatu yang sama berbanding menghasilkan sesuatu yang berlainan. Semakin besar kuantiti produk yang dihasilkan, semakin senanglah proses pengeluaran produk yang sama itu dan semakin sukarlah proses pengeluaran produk yang berbeza-beza itu. Produk-produk yang berlainan itu pastinya lebih unik daripada produk-produk yang sama.

Tetapi, produk-produk yang unik itu tidak lagi dipandang unik apabila kebanyakan produk adalah berlainan. Sebaliknya, produk-produk yang sama tadi dianggap unik apabila jarang dapat ditemukan.

Sebenarnya ayat-ayat yang aku falsafahkan di atas adalah suatu gambaran mengenai istilah 'kembar' atau lebih tepat lagi ialah 'kembar seiras'. Cuma bila dikaitkan dengan kekuasaan Allah, tiada suatu apa pun yang mustahil. Tiada yang sukar bagi Allah. Allah menterbalikkan logika tersebut, iaitu 'tidak kembar' yang sebenarnya adalah unik sudah dianggap tidak unik manakala 'kembar' yang sepatutnya tidak unik kerana diciptakan sama, sudah dianggap unik.


Sedar atau tidak, aku dijodohkan dengan kembar. Memang tidak terduga untuk berkongsi hidup dengan insan kembar di mana pada pandanganku suatu ketika dahulu, kembar amat jarang ditemui dan sesiapa yang mendapat jodoh dengan kembar sangat bertuah!

Mengikut pendapat beberapa teman, kembar boleh terjadi berdasarkan keturunan. Nampaknya ada juga benarnya kerana AbeKiman (abang isteriku) dikurniakan sepasang anak sulung lelaki yang kembar seiras, iaitu Afiq dan Adib. Sekarang mereka sudah berusia 11 tahun.

Ada juga yang berpandangan bahawa antara pasangan kembar tersebut akan ada satu pihak yang berkemungkinan tinggi mendapat zuriat kembar. Jika dilihat kepada situasi setakat hari ini, kembar isteriku (Ti) sudah mempunyai dua orang anak dan kedua-duanya bukan kembar, manakala isteriku sedang mengandung dan bayi tersebut juga tidak kembar mengikut pemerhatian semasa pemeriksaan kami di klinik.

Ini bermaksud bahawa jika Ti dikurniakan zuriat kembar, maka kebarangkalian untuk isteriku mendapat anak kembar adalah rendah. Begitulah juga sebaliknya, iaitu jika ditakdirkan isteriku dikurniakan zuriat kembar, kemungkinan Ti pula akan tipis untuk mendapat anak kembar.

Kembar juga dikatakan boleh berlaku apabila ibu mengandung mengamalkan pemakanan yang dapat meningkatkan kebarangkalian mendapat bayi kembar. Sejauh mana kebenaran dan keberkesanannya, semuanya bergantung kepada kehendak Yang Maha Pencipta.

Walau bagaimana pun, semua itu adalah mengikut ketentuan Allah. Apa yang lebih penting daripada isu kembar ini ialah apabila setiap zuriat yang dikurniakan kepada kita dapat dididik menjadi anak yang soleh/solehah serta musleh/muslehah, iaitu bukan sahaja baik budi pekertinya, malah dapat membawa kebaikan kepada manusia sejagat.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, Mac 16, 2009

Bayi lelaki atau perempuan?

Assalamualaikum..

Agak sukar untuk mendapat peluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan ultrasound di Poliklinik Komuniti Seri Kembangan, iaitu tempat pemeriksaan susulan berterusan isteriku.

Bila dikaitkan dengan agensi kerajaan, memang umum sudah maklum akan kualiti perkhidmatan yang kurang memuaskan dan kuantiti pengguna yang begitu besar. Kebiasaannya pengguna perkhidmatan ini adalah di kalangan golongan yang mempunyai taraf hidup yang sederhana.

Berbekalkan perasaan ingin tahu mengenai jantina bayi di dalam kandungan isteriku, selepas solat Maghrib tadi, kami telah ke salah sebuah klinik swasta (Klinik Jameaton) yang tidak berapa jauh dari rumah.

"Assalamualaikum doktor," kami menyapa sebaik sahaja dibenarkan masuk ke bilik doktor.

"Waalaikumussalam. Sila duduk. Puan ada apa-apa masalah?" doktor terus mengajukan soalan dengan lembut kepada isteriku kerana pada rekod perubatan tercatit nama Wan Sajirah binti Wan Ahmad.

"Tiada apa-apa masalah, doktor," isteriku meleraikan sedikit kerisauan yang terlihat pada wajah doktor itu.


"Saya cuma nak buat ultrasound. Nak tengok bagaimana kedudukan baby, sihatkah dia. Lepas tu, yang paling penting, kalau boleh, kami nak tahu jantinanya. Lagi pun, usia kandungan dah nak masuk tujuh bulan," jelas isteriku lantas berpaling ke arahku sambil tersenyum ayu.

"Oh, begitu. Mari ikut saya," doktor membawa isteriku ke tempat pemeriksaan ultrasound.

Seketika kemudian, setelah imej terbentuk di skrin peralatan perubatan itu, aku meminta izin untuk mendekati mereka berdua.

"Bayi puan sihat. Ini kepalanya. Tengok jantungnya sedang berdegup," doktor menunjukkan beberapa imej anggota bayi kami yang terpapar di skrin.

Imej kurang jelas pada pandangan mataku. Mungkin kerana itu hanyalah imbasan 2 dimensi. Pada pandangan mata doktor yang sudah biasa dengan itu semua, mungkin dia tahu melalui pengalaman dan pengamatannya.

"Jawapan kepada persoalan encik dan puan sudah ada di depan mata kita sekarang. Nampak ni?" doktor menunjukkan imej satu anggota bayi kami.

"Mengikut apa yang kita nampak pada skrin ni, bayi encik dan puan adalah lelaki," doktor menyambung penjelasan memandangkan kami agak sukar mengecam imej yang ditunjukkan olehnya.

Rupa-rupanya, imej yang ditunjukkan itu adalah imej anggota jantina bayi kami.

Sebelum meninggalkan bilik itu, doktor berpesan bahawa jantina sebenar tidak semestinya sama dengan keputusan daripada pemerhatian tadi. Apa yang diputuskan tadi hanyalah semata-mata berdasarkan imej yang terpapar pada skrin.

"Nanti bila baby dah keluar, jangan lupa beritahu saya jantinanya," doktor itu berseloroh dengan mesra.

Kami tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepadanya.

Fasa penentuan nama bayi sudah semakin menyempit. Pancarian pula masih belum bertemu noktahnya. Proses penetapan format dan penapisan serta pertimbangan masih diteruskan untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Yang pasti, pangkal nama itu semestinya ialah perkataan 'Tengku' yang diwarisi daripada abinya.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Selamat pengantin baru, Zukhairi..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Ahad lalu (8 Mac 2008), ketika kami berada di kampung halaman, salah seorang teman serumah denganku sewaktu bujang dahulu di Kampung Sungai Penchala, Damansara, telah melangsungkan perkahwinannya. Nampaknya tarikh yang dipilih adalah sama dengan tarikh kami diijabkabulkan tahun lepas. Aku berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat meraikan majlisnya berikutan keutamaan kami untuk berada di kampung.

Teman yang dimaksudkan ialah Zukhairi. Walaupun kami berlainan kursus pengajian, tapi setelah ditempatkan di kolej kediaman yang sama di Universiti Malaya, seterusnya berpindah ke rumah sewa yang sama, ikatan persaudaraan kami semua di rumah itu semakin erat.

Selamat pengantin diucapkan kepada Zukhairi dan pasangannya. Semoga diberi kekuatan dalam melayari kehidupan berumahtangga yang penuh dengan dugaan.

P/s : Gambar adalah ihsan daripada blog Nasir.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, Mac 10, 2009

Selamat tiba di Seri Kembangan..

Assalamualaikum..

Pagi tadi, pukul 9.00 pagi, kami bertolak dari rumah Ma ke rumah Mek. Kami singgah di rumah Mek seketika sebelum bertolak ke rumah kami di Seri Kembangan, Selangor. Kebetulan KakYah (kakak isteriku) dan AbeMat baru tiba di rumah Mek kerana ingin membawa Mek ke hospital untuk rawatan susulan penyakit stroknya sejak beberapa bulan yang lalu.

Beberapa minit setelah Mek dibawa oleh KakYah, kami memulakan perjalanan. Dendangan lagu dan gelak ketawa kami menghiasi perjalanan kami yang jauh itu.


Hampir tiba di Bentong, Pahang, kami berkira-kira untuk singgah berehat seketika di rumah AbeKiman (abang isteriku) KakTie.

"Macam mana, bang? Jadi ke kita nak singgah rumah KakTie?"

"Jadi," aku akhirnya membuat keputusan.

Jika kami berhenti seketika, dapat lah juga isteriku merehatkan badannya yang lenguh-lenguh itu. Maklum lah, badannya kini membawa satu lagi nyawa.

Setibanya kami di rumah KakTie, kelihatan tiga orang anak lelakinya sedang bermain-main di halaman rumah, iaitu Afiq dan Adib (si kembar), dan Ayie. AbeKiman dan KakTie muncul dengan anak bongsu mereka, Ammar.


Sempat lagi KakTie menunjukkan langsir yang baru siap dijahit oleh KakMah.

Setelah menjamah hidangan nasi di rumah KakTie, kami meminta diri untuk menyambung perjalanan.

Kami bertolak dari rumah mereka pada pukul 9.00 malam. Lebih kurang pukul 11.00 malam, kami selamat tiba di rumah kami di Seri Kembangan, Selangor.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008